TERENGGANU DARUL IMAN

TERENGGANU DARUL IMAN

Thursday, April 5, 2012

Wajarkah PTPTN Dihapuskan?


Semenjak beberapa hari kebelakangan ini, isu PTPTN kembali hangat dibincangkan di dalam akhbar-akhbar tempatan. Kita tidak menafikan peranan penting PTPTN dalam memberikan peluang kepada ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka di peringkat varsiti. Namun, adalah malang apabila sistem PTPTN dicemari dengan amalan riba’.

Benar, untuk meletakkan hukum sama ada caj perkhidmatan yang dikenakan oleh PTPTN sebanyak 3% itu adalah riba’ atau tidak, kita perlu merujuk kepada pakar dan ahli dalam bidang tersebut. Justeru, dengan merujuk kepada para ulama’ dan pakar ekonomi Islam, kita akan menemukan kepada jawapan bahawa caj perkhidmatan itu adalah riba’. Sila rujuk kepada artikel tulisan Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Haji Dusuki dan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.

Malang sekali, ramai pihak masih gagal menanggapi riba’ sebagai satu kesalahan besar. Rujuklah para ustaz dan ulama’ dan kita akan menemukan hadis-hadis yang meletakkan kesalahan riba’ itu sebagai dosa yang sangat besar, sehingga diibaratkan dosa riba’ yang paling kecil sekalipun adalah setaraf dengan dosa berzina dengan ibu sendiri. Malah, dalam hadis yang lain Allah S.W.T. dan Rasulullah mengisytiharkan perang terhadap orang yang mengamalkan riba’! Bukankah itu hujah yang sangat jelas yang menggambarkan betapa beratnya dosa riba’ itu? Seandainya kita benar-benar memahami betapa besarnya kesalahan riba’ itu, maka pastinya kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar daripada apa-apa sistem yang melaksanakan riba’.

Soal pemabayaran balik wang pinjaman PTPTN semasa pengajian sememangnya amat tidak wajar. Praktis seperti itu hanya akan mendorong para pelajar untuk menjadi lebih materialistik, dan akhirnya mengurangkan fokus mereka kepada proses pembelajaran dan pendidikan yang sebenarnya merupakan tugas utama mereka. Mungkin benar, bahawa para pelajar pada hari ini sama ada bekerja atau tidak, memang tidak fokus kerana pelajar kekurangan sikap dan tabiat yang positif. Tetapi, tidak semua pelajar begitu! Juga, adakah hanya dengan alasan seperti itu kita ingin terus menggalakkan lagi para pelajar untuk tidak fokus kepada pengajian dan pendidikan? Kesempitan kewangan adalah antara faktor penting yang mendorong kepada berlakunya banyak jenayah. Apakah kita ingin menekan kehidupan para pelajar sehingga akhirnya mereka terpaksa mengambil jalan keluar mudah dengan melakukan jenayah?

Adalah tidak adil untuk saudari Normaliza menggunakan contoh pelajar yang belajar di luar negara sambil bekerja lalu mencapai kecemerlangan sebagai justifikasi untuk mengatakan bahawa tidak ada masalah untuk pelajar bekerja dan mencapai kecemerlangan dalam masa yang sama. Perlu diingat ada banyak faktor yang perlu difikirkan sebelum sesuatu kesimpulan itu dibuat. Sebagai contoh, pelajar yang sekadar bekerja mencuci tingkap universiti setiap pagi di United Kingdom sudah boleh mendapat gaji yang mencukupi untuk menampung kehidupannya setiap bulan, dan masih boleh membuat simpanan. Adakah peluang pekerjaan yang sebegitu mudah dengan gaji yang sebegitu lumayan wujud di negara kita? Itu belum lagi mengambil kira soal norma masyarakat serta soal galakan daripada pihak universiti dan kerajaan.

Tentang isu caj 1%, ini adalah isu riba’ yang dikenali sebagai sistem ujrah. Pihak PTPTN berpendapat bahawa 1 % tersebut adalah caj perkhidmatan yang dikenakan untuk membayar gaji pekerja, adakan ceramah PTPTN dan sebagainya. Tetapi kita sedia maklum 1 % caj tersebut akan meningkat setiap tahun. Jika si peminjam tidak mampu untuk membayar pada tahun pertama, pada tahun kedua, caj akan meningkat kepada 2%. Kita ketepikan soal kemampuan. Sama ada seseorang itu mampu atau tidak, bukan isunya kerana riba’ tidak mengambilkira sama ada seseorang itu mampu atau tidak membayar balik dengan tambahan caj. Sebab itu saya menulis di atas bahawa riba’ ini adalah satu dosa yang besar. Jangan dipandang enteng soal kesalahan riba’!
Kewujudan PTPTN itu sendiri adalah disebabkan oleh kos pengajian yang terlalu tinggi yang tidak mungkin mampu dibayar oleh ramai orang jika tidak ada bantuan. Soalnya, mengapakah perlu kos pengajian itu begitu tinggi? Kalau benarpun kos pengajian itu memang perlu tinggi untuk menampung gaji pensyarah, fasiliti dan sebagainya, mengapa tidak disubsidikan sahaja? Mengapa wang peruntukan untuk PTPTN itu digunakan sebagai pinjaman? Mengapa tidak sebagai subsidi? Adakah kerana kita tidak meletakkan pendidikan itu sebagai suatu yang penting? Kalau kita mampu membina menara berkembar Petronas yang terlampau tinggi itu, mengapa tidak kita menampung kos pendidikan? Kalau kita mampu membina kota Putrajaya yang begitu indah dan menelan belanja yang berbillion ringgit jumlahnya, mengapa tidak kita membayar kos pendidikan untuk pelajar kita? Adakah pembangunan fizikal itu jauh lebih penting daripada pembangunan insan? Sila kaji kos pendidikan serta bantuan kewangan yang ada di United Kingdom, Jerman dan Amerika Syarikat. Kemudian, fikirkan dengan akal yang cerdik dan rasional!

Reactions:

0 comment: