TERENGGANU DARUL IMAN

TERENGGANU DARUL IMAN

Monday, August 29, 2011

Perutusan Aidilfitri 1432H PERMATA UKM




Assalamu’alaikum wa Rahmatullah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu(yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mnedapat rahmat.”
(Surah Al-Hujurat:Ayat 10)

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana kita diberi kesempatan sekali lagi pada 1432H ini untuk meraikan hari yang mulia ini dalam suasana yang meriah dan mengembirakan, di samping puasa di bulan Ramadan kita lalui dengan jayanya, mudah-mudahan segala amal ibadah kita di sepanjang Ramadan yang lalu diterima Allah SWT dan kita mengharapkan untuk hidup kita berterusan dalam ketaatan dan keredhaan Allah SWT.
Kedatangan Aidilfitri ini yang mana masih lagi mengamalkan amalan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjung antara satu sama lain. Kerana itu, adalah sangat rugi sekiranya kita tidak mengamalkan budaya amalan ziarah menziarahi sesama kita, khususnya saudara kita yang dekat mahupun yang jauh, termasuk menziarahi guru-guru, jiran tetangga, rakan-rakan sepejabat dan sebagainya.

Amalan ziarah amat dituntut dalam Islam dan dikatakan bahawa seseorang Muslim itu tidak sempurna imannya sekiranya ia tidak menghubungkan silaturrahim sesama mereka.

Dari Abi Hurairah RA katanya : Sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Amalan ziarah atau kunjung mengunjung merupakan salah satu cara mengerat dan mengukuh tali silaturrahim sesama kita. Amalan ziarah juga membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan yang dinamakan hubungan silaturrahim.

Namun, yang mengecewakan serta amat mendukacitakan kita, di mana terdapat sebahagian di kalangan umat Islam atau sahabat-sahabat kita pada hari ini kurang memberi perhatian terhadap amalan ziarah menziarahi terutamanya menziarahi saudara-saudara terdekat, sahabat handai, jiran tetangga dan sebagainya di luar musim-musim perayaan atau sambutan-sambutan tertentu. Ini disebabkan fahaman dan amalan ziarah hanya bersifat bermusim atau menjadi tradisi yang diamalkan sempena sambutan perayaan sahaja seperti hari raya puasa yang sedang kita raikan ataupun hari raya haji semata-mata. Akibatnya amalan ziarah semakin hari semakin terhakis dan diabaikan dalam keluarga dan masyarakat kita dengan alasan kesibukan dengan tugas-tugas harian dan sebagainya.

Melalui amalan ziarah juga, hubungan sesama manusia menjadi erat dan bertambah ikrab. Ini disebabkan asal kejadian manusia dari keturunan yang satu iaitu dari keturunan nabi Allah Adam AS, dengan sebab itulah Islam mengajak manusia supaya saling kenal mengenal antara satu sama lain, hormat menghormati, saling bekerjasama dan faham memahami.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai umat manusia sesungguhnya kami telah ciptakan kamu lelaki dan perempuan dan telah kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang paling takwa di antara kamu.”
(surah al-Hujurat:ayat 13)


Untuk itu, bagi sesetengah manusia yang hidup mereka tidak mematuhi syariat Islam, umpamanya mereka suka mencari kesalahan orang lain, atau suka mencaci, membuat fitnah, mencerca orang lain, bersifat hasad dengki, bersifat khianat, melakukan kezaliman dan sebagainya.Mereka ini boleh digolongkan sebagai orang yang menurut jalan syaitan, yang sentiasa berusaha merosakkan manusia untuk memutuskan hubungan silaturrahim serta mengajak hidup bermusuhan.

Marilah sama-sama kita menghidupkan amalan ziarah menziarahi, mempereratkan hubungan silaturrahim dan kasih sayang sebagai umat Islam yang bersaudara, iaitu persaudaraan bukan sahaja di dunia ini bahkan persaudaran sampai ke akhirat. Insyaallah, mudah-mudahan Allah memberkati hidup kita, melapangkan segala kesulitan, membukakan pintu rahmat-nya, mengurniakan kita kehidupan yang damai dan tenteram. Saya Mohd Hakim Adli bin Abu Bakar , YDP PERMATA UKM mewakili semua saff kepimpinan Persatuan Mahasiswa Terengganu, Universiti Kebangsaan Malaysia mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin kepada semua mahasiswa/I UKM khususnya dan seluruh umat islam di dunia ini. Sambutlah Aidilfitri ini dengan hati yang tenteram dan suci.

Sekian, Terima Kasih
Mohd Hakim Adli B. Abu Bakar, YDP PERMATA UKM

0 comment: