TERENGGANU DARUL IMAN

TERENGGANU DARUL IMAN

Sunday, October 23, 2011

Makluman bagi Mahasiswa Fakulti Pendidikan


Isu penempatan guru lepasan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ( PISMP ) menjadi semakin hangat diperkatakan oleh graduan PISMP. Keluhan kelewatan ini sehingga ada yang menulis surat meluahkan kekecewaan kepada sebuah portal berita dengan tajuk “Graduan Kecewa Penempatan Guru Lewat” bertarikh 5 jun 2011. Ini menggambarkan perasaan kebimbangan yang cukup besar yang diluahkan graduan lepasan PISMP seluruh Malaysia.
Kebimbangan berkaitan penempatan guru bagi graduan lepasan PISMP khususnya graduan lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM ) telah dibawa oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ( PMUKM ) yang juga selaku Majlis Perwakilan Pelajar untuk menjelaskan tentang kelewatan penempatan guru. Sehubungan dengan itu, satu surat bertarikh 29 Julai 2011 telah ditujukan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang dihantar oleh Saudara Izzuddin Bin Pisol yang juga selaku Majlis Perwakilan Pelajar ( MPP ) Fakulti Pendidikan bagi mendapat penjelasan yang lebih baik berkaitan isu kelewatan ini.
Surat ini dihantar berikutan kelewatan pembukaan penempatan Guru Sandaran Terlatih ( GST ) yang masih tidak dibuka sehingga tarikh surat dihantar. Selain itu juga wujud sedikit khilaf berkaitan dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak JPA melalui rujukan JPA.BPO(S) 71/3/4-2 Jld. 3 ( 17 ) bertarikh 20 Mei 2011. Melalui pekeliling tersebut semua jawatan awam akan dibekukan mulai Jun sehingga 31 Ogos 2011 tetapi dalam laporan akhbar Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia telah mengisytiharkan seramai 13000 Guru Sandaran Tidak Terlatih ( GSTT ) akan diserap kejawatan tetap dan ini sama sekali bercanggah dengan pekeliling berkenaan.

Susulan dari surat PMUKM kepada Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ), satu surat maklum balas telah dihantar kepada PMUKM bertarikh 3 Ogos 2011 memberi jawapan terhadap kekeliruan seperti yang disebutkan. Menurut jawapan KPM kepada pihak PMUKM, pembukaan penempatan guru dilewatkan ekoran dari surat JPA seperti disebutkan sebelum ini. Manakala berkaitan isu kenyataan akhbar pula, pihak KPM menyatakan ia sebagai menghargai jasa Guru Sandaran Tidak Terlatih ( GSTT ).



Timbul sedikit persoalan dari pihak PMUKM berdasarkan jawapan yang dikemukan, iaitu adakah pekeliling tersbut terpakai kepada semua penjawat awan ataupun ia dikecualikan kepada “orang yang dihargai”. Analogi yang mudah sebagai contoh, kerajaan mengeluarkan pekeliling tidak boleh menjual petrol kepada kenderaan plat asing, dalam masa yang sama kerajaan membenarkan menjual minyak kepada kereta plat singapura. Bila hal ini diajukan, kerajaan memberi jawapan bila rakyat Singapura ramai yang masuk ke dalam Malaysia ini membantu perkembangan ekonomi negara dan kita menjual petrol untuk menghargai mereka yang keluar masuk ke Malaysia ini tetapi tidak pula pekeliling menyatakan ada pengecualian khusus.


Dalam hal ini, Guru Sandaran Tidak Terlatih ( GSTT ) tidak menjadi persoalan pokok, sudah pasti ia berita yang baik untuk diserapkan kepada jawatan tetap tetapi mengapa pada masa yang sama sikap KPM seolah-olah dilihat tidak adil kepada Guru Sandaran Terlatih ( GST ). Daripada jawapan tersebut sehingga tarikh kenyataan ini dikeluarkan, pihak KPM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan isu kelewatan ini.
Ketidakjelasan Pelaksanaan Dasar Baru
PMUKM menyokong sepenuhnya usaha yang ingin dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menaik taraf kualiti profesionalisme keguruan melalui Rancangan Malaysia Ke-10 ( RMK-10 ), dibawah tajuk Membangun dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia. Dalam bab tersebut, banyak perubahan kearah kebaikan yang bakal dilakukan oleh pihak kementerian khususnya KPM dengan multi makanisma seperti yang dituliskan dalam bab tersebut. Antara usaha meningkatkan kualiti keguruan yang dilakukan oleh KPM ialah Penghapusan Jaminan Penempatan Guru Terlatih.
Cuma sedikit perkara yang tidak jelas, iaitu adakah dasar ini terpakai kepada semua GST yang bergraduan selepas 2011 ataupun terpakai kepada GST ambilan 2011/2012 keatas. Sekiranya perkara ini terpakai kepada graduan 2011 keatas, ini bermakna mereka mengikuti sistem ambilan pada 2007/2008 yang mana pada waktu itu belum diistiharkan lagi RMK-10 dan secara halusnya ia tidak melalui sistem tersebut. Ada dinyatakan secara jelas bahawa “ pada masa ini, guru pelatih IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka ” (Bab 5: Membangun dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia: Penghapusan Jaminan Penempatan Guru Terlatih ms 212 ). Ini secara jelas dasar ini masih terpakai kepada graduan ambilan sebelum RMK-10.
Sistem “pasaran terbuka” GST dalam usaha menaiktaraf keguruan juga perlu dilihat secara empirikal oleh pihak KPM dengan beberapa persoalan utama. Bagaimana makanisma pihak KPM dalam mendepani kekosongan jawatan yang banyak sekiranya sistem “Pasaran Terbuka” terhadap GST dilakukan dan sudah pasti numerasi unjuran kekosongan jawatan dengan bilangan kelayakan tidak seimbang akanb berlaku. Adakah KPM semata-mata mahu mengambil KPLI dan DPLI sebagai langkah penyelesaian dalam mengisi kekosongan jawatan. Sekiranya RMK-10 yang menwar-warkan kesungguhan dalam meningkatkan kualiti perguruan hendak dilaksanakan, adakah cukup hanya mengikuti sistem pendedahan pedagogi pendidikan dalam tempoh setahun setengah sebagai penyelesaian kepada segala-galanya berbanding dengan empat tahun GST mengikuti sistem pendidikan negara. Kemanakah Graduan GST mahu pergi sekiranya mereka tidak ditempatkan di sekolah-sekolah selepas itu.
Sedangkan pemengang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ( ISMP ) terperangkap dengan “ketidakyakinan” sama dari pihak swasta mahupun kerajaan. Perangkap ini menjadikan graduan ISMP dalam keadaan sangat delema. Apa tidaknya, Empat tahun mengikuti sistem pendidikan “belajar bagaimana untuk mengajar” kemudian tidak diberi peluang yang sewajarnya kepada mereka untuk mempraktikkan ilmu yang ada apatah lagi mereka sangat sukar untuk mendapat pekerjaan selain bidang tersebut semata-mata kerana “ketidakyakinan” majikan untuk menerima graduan lepasan ISMP dengan alasan graduan ISMP akan meninggalkan pekerjaan yang diberikan sekiranya menerima petempatan guru kelak.
Ketika diajukan soalan kepada Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Malaysia berkaitan isu penempatan guru ketika sesi dialog di UKM bertarikh 23 September 2011 , beliau ada menyatakan keutamaan kepada GSTT dalam petempatan guru. Sekiranya benar pihak KPM lebih memberi keutamaan kepada KPLI/DPLI ( GSTT ) dan IPG sebagai kaedah yang paling wajar dalam meningkatkan profesion keguruan seperti dalam RMK-10, maka adalah lebih baik program ISMP ditutup dan Universiti Perguruan Sultan Idris ( UPSI ) juga wajar ditutup kerana ia bukan lagi pengimbang dan penyumbang kepada sistem pendidikan negara. Ini bermakna semua pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda yang berminat dengan pendidikan boleh memohon untuk membuat KPLI atau DPLI dan sudah pasti kerajaan dapat mempertimbangkan PNGK minimum untuk menjaga kualiti pendidikan.
Kenaikan tahap pencen minimum kepada 60 tahun juga pada asasnya disambut baik oleh mereka yang berkepentingan. Walau bagaimanapun kerajaan dilihat tidak bersedia dalam mendepani implikasi terhadap unjuran imbangan kekosongan jawatan awam dengan kemasukan baru. Secara logiknya, jika dahulu minimum pencin pada umur 56 tahun, ini bermakna empat tahun kekosongan tidak berlaku untuk diisi oleh graduan baru. Sekiranya ini berlaku sememangnya ia memberi implikasi yang besar kepada graduan dari seluruh IPT Malaysia terutama peluang penjawat berkhidmat dalam sektor awam.
Kesimpulan
PMUKM mewakili seluruh mahasiswa khususnya fakulti pendidikan mengharapkan agar kelewatan pembukaan penempatan guru ini dapat di atasi dengan segera. Sekiranya perkara sebegini tidak diatasi dengan baik, ia menjejaskan motivasi mahasiswa yang sedang mengikuti ISMP, lebih-lebih lagi graduan ISMP itu sendiri. Bahkan kerana isu penempatan guru yang lewat dibuka berterusan, maka sudah pasti agenda utama dalam menarik pelajar cemerlang mengikut Program ISMP juga tidak akan tercapai. PMUKM cukup yakin bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) dan Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ) sudah membuat perancangan yang terbaik untuk semua graduan ISMP. Besarlah harapan kami agar pihak KPM selaku kementerian yang bertanggungjawab dalam isu ini memberi kenyataan rasmi bila tarikh buka petempatan guru ( GST ) supaya dapat menenangkan semua graduan ISMP seluruh Malaysia. Selain itu, PMUKM menyokong usaha murni Gabungan Graduan ISMP Malaysia ( GGIM ) yang menjadi penghubung antara graduan dan pihak KPM.
Sumber:

Reactions:

0 comment: