TERENGGANU DARUL IMAN

TERENGGANU DARUL IMAN

Sunday, December 11, 2011

Rakyat Terengganu sambut kepulangan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah


(info semasa)

Rakyat Terengganu sambut kepulangan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah

11/12/2011 7:34pm

KUALA TERENGGANU 11 Dis. - Seramai 15,000 rakyat jelata dijangka membanjiri sepanjang jalan di bandar raya ini bagi menyambut keberangkatan balik Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah ke negeri ini esok.

Sambutan itu dibuat sempena tamat tempoh pemerintahan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 esok.

Mereka yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, warga Institusi Pengajian Tinggi Awam, pelajar serta murid sekolah akan berada di sepanjang jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) hingga Istana Maziah di sini sejauh 16.2 kilometer.

Penolong Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol), Mohd Zahari Jannah berkata, sebaik tiba di LTSM, aturcara sambutan keberangkatan balik Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah akan berlangsung tiga hari iaitu pada esok, Rabu dan Jumaat ini. Katanya Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah dijangka tiba di LTSM kira-kira pukul 2 petang dengan pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dan akan disambut kira-kira 2,000 orang.

Sejurus tiba, baginda berdua akan disambut kerabat diraja, para pembesar dan kenamaan negeri diketuai Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.

"Selepas tiba di LTSM, baginda berdua akan ke Istana Maziah untuk majlis Santapan Petang yang dijangka dihadiri kira-kira 300 orang tetamu sebelum berangkat balik ke Istana Nur Nadirah di sini,” katanya pada taklimat mengenai keberangkatan pulang baginda, di sini, hari ini.

Turut dijangka hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Mohamad yang bertindak sebagai pegawai pengiring dari ibu negara.

Beliau berkata, untuk aturcara pada Rabu ini, Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah akan berangkat ke Istiadat Penghadapan di Istana Maziah kira-kira pukul 8.30 pagi yang dijangka dihadiri kira-kira 600 tetamu.

Manakala pada Jumaat pula, baginda Tuanku Mizan akan berangkat mencemar duli merasmikan Masjid Sultan Ismail di Chendering (sebelum ini dikenali Masjid Diraja) kira-kira pukul 12 tengah hari.

-sumber media-

0 comment: